Friday, August 8, 2008

Rentetan Kejayaan

KAMI pernah bertemu sebelum ini iaitu kira-kira tiga tahun lalu. Pada masa itu, Nur Athiroh Masyaa’il Tan Abdullah @ Tan Ai Pao yang penulis temui masih menuntut di Kolej Uniti, Port Dickson, Negeri Sembilan dan sedang mengikuti kursus peringkat Diploma Pengajian Islam (Syariah).

Namun sepanjang tempoh itu hingga kini banyak perkara yang membanggakan berjaya dicapai dan dibuktikan oleh anak kedua daripada enam adik-beradik ini yang memeluk Islam pada 11 Oktober 1995.

Terbaru, paling mengejutkan penulis ialah apabila gadis kelahiran negeri Perlis Darul Sunnah ini dinobatkan penerima Anugerah Pelajaran Diraja sekali gus dianugerahkan Pingat Jasa Cemerlang (PJC) pada Majlis Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kali ke-35 yang berlangsung pada Ogos lalu.

Kejayaan ini turut dibanggakan warga Fakulti Pengajian Islam, khasnya dan warga UKM amnya kerana beliau merupakan graduan ulung berbangsa Cina yang tamat pengajian dengan Sarjana Muda Pengajian Islam dengan kepujian yang melayakkannya mendapat Kelas Pertama, seterusnya mencipta sejarah di Fakulti Pengajian Islam, UKM.

Sungguhpun berjaya merealisasikan harapan ketua jabatan, para pensyarah, keluarga angkat dan teman-teman seperjuangan serta yang paling penting, iaitu membuktikan keupayaan diri, namun misi perjuangan Nur Athiroh, 32, tidak terhenti di situ sahaja. Hakikatnya, kejayaan yang dikecapi ini dijadikan pemangkin semangat meneruskan perjuangannya sama ada dalam bidang akademik, kokurikulum dan khidmat masyarakat.

Lantaran itu, Nur Athiroh kini sedang mengikuti pengajian peringkat sarjana di Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam, UKM. Malah beliau juga berazam menamatkan pengajian yang sepatutnya selama dua tahun kepada satu setengah tahun sebelum melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Yarmouk, Jordan.

Selepas meraih kejayaan cemerlang pada konvokesyen UKM baru-baru ini, Nur Athiroh menerima banyak pelawaan dari beberapa Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) untuk terus melanjutkan pengajian peringkat PhD di universiti mereka namun UKM tetap menjadi pilihannya. Malah akui Felo di Kolej Dato’ Onn UKM ini lagi, dia juga baru selesai melalui sesi temuduga sebagai tutor di Fakulti Pengajian Islam, UKM, semalam.

“Saya benar-benar bersyukur kepada Allah dengan apa yang diperoleh baru-baru ini. Segala kepayahan dan cabaran yang terpaksa dihadapi terubat juga akhirnya. Pada awalnya, saya tidaklah meletakkan matlamat terlalu tinggi.

“Sasaran saya pada mulanya, hanya bertekad memperoleh Kelas Pertama. Alhamdulillah, sungguhpun saya menolak tawaran ke Universiti Al-Azhar, Mesir selepas menamatkan pengajian di Kolej Uniti, rupa-rupanya setiap sesuatu itu mempunyai hikmah, yang mana Allah Lebih Mengetahui,” jelasnya.

Selama tiga tahun pengajian di UKM, beliau sentiasa tanamkan keazaman, komitmen serta menyambut cabaran para pensyarah untuk terus merebut peluang yang ada. Biarpun sukar tetapi Nur Athiroh berpegang kepada formula gabungan usaha, doa dan tawakal, pasti menghasilkan kejayaan yang cemerlang. Malah formula ini jugalah yang ditanamkan dalam setiap aspek kehidupan dan ia tidak pernah mengecewakannya.
Sokongan

“Yang bulat tidak datang bergolek dan yang pipih tidak datang melayang. Begitulah juga dengan kejayaan saya ini. Ia tidak mudah dicapai namun saya percaya di mana ada ikhtiar, kesungguhan, komitmen dan sokongan semua pihak, insya-Allah kejayaan menyusul.

“Sebagai Muslim, kita punyai senjata yang paling berkesan iaitu doa. Keyakinan itulah menjadi saya tidak pernah berhenti mengharap kepada-Nya,” kongsi Nur Athiroh yang pernah mendapat Anugerah Al-Biruni iaitu Anugerah Khas pada majlis konvokesyen Kolej Uniti serta empat kali dianugerahkan Pelajar Cemerlang Akademik.

Menurut anak muda yang mahir menguasai lima bahasa iaitu bahasa Melayu, Cina, Arab, Inggeris dan Thai ini lagi, sebagai seorang manusia kita tidak boleh lari daripada pelbagai dugaan hidup. Yang pastinya, setiap cabaran yang mendatang itu mengajar erti kemanisan iman serta lebih menghargai nikmat Ilahi.

Malah kata Nur Athiroh, surah al-Mukminun ayat 62 wajar dijadikan pegangan kepada semua umat Islam yang bermaksud: Kami tiada membebani seseorang melainkan menurut kesanggupannya... Akuinya lagi, apa juga masalah yang dihadapi menjadikan dirinya lebih dekat dengan Allah serta sentiasa mengharap kepada-Nya.

Berkongsi rahsia dan falsafah kecemerlangannya, kata Nur Athiroh, belajar daripada guru-guru yang pernah mendidiknya, selain berpegang kepada ajaran al-Quran dan sunah Rasulullah s.a.w.
“Niat yang suci dan ikhlas kerana Allah s.w.t. perlu ditanam dalam setiap dimensi kehidupan khususnya niat belajar dan berkhidmat kerana Allah bukan bermatlamat untuk lulus peperiksaan semata-mata. Di samping itu, bagi saya masa yang diperuntukkan 24 jam itu memang mencukupi sekalipun kita aktif dengan pelbagai bidang.

“Formula saya mudah; empat jam tidur, enam jam berpersatuan, 12 jam akademik dan selebihnya untuk khidmat diri. Alhamdulillah percaturan ini tidak pernah menghampakan saya,” katanya dalam pertemuan di pejabat Ketua Jabatan Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam, UKM, baru-baru ini.

Mengenai perancangan masa depan, spontan jawapannya iaitu bergelar pendakwah serta memilih bidang pendidikan sebagai kerjaya. Akui Nur Athiroh, minat dalam bidang dakwah mula berputik sewaktu mula menjejakkan kaki di Jabatan Dakwah dan Kepimpinan, UKM. Semenjak itu, barulah dia menyedari akan kepentingan setiap daripada kita untuk menyampaikan dakwah biarpun sepotong ayat.

Malah bagaimana perjuangan serta kesabaran Rasulullah s.a.w. menyampaikan dakwah sehinggakan sanggup menerima pelbagai penderitaan, sentiasa menjadi kekuatan buat Athiroh terutamanya menyampaikan dakwah kepada ahli keluarganya sendiri.

Pesanan Nur Athiroh kepada golongan mualaf, mereka yang baru berjinak-jinak dengan Islam serta golongan muda Muslim, agar sentiasa mengingat tanggungjawab sebagai Muslim di atas muka bumi ini. Selain itu, berpegang teguh dengan peranan masing-masing iaitu yang paling penting seruan menuntut ilmu.

“Walau dalam keadaan apa sekalipun, sama ada susah atau senang, kita mesti tanamkan dalam diri untuk menuntut ilmu.

“Dengan bekalan ilmu inilah akan memantapkan keimanan serta menjadi benteng apabila berhadapan dengan pelbagai cabaran. Kita juga perlu sentiasa bergaul dengan mereka yang berakhlak baik serta kena bijak memilih kawan,” akui Nur Athiroh yang sedikit tertekan dengan harapan menggunung semua pihak tetapi perasaan itu sentiasa dijadikan kekuatan untuk terus bergerak maju mencapai kecemerlangan sebagaimana saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi iaitu melahirkan modal insan yang memiliki personaliti unggul.

Nur Athiroh juga sentiasa mengamalkan qiamullail setiap malam, solat sunat Dhuha, membaca al-Quran, mengekalkan wuduk sepanjang hari, menghormati dan beradab dengan guru-guru, mengasihi yang tua dan muda serta membantu insan yang memerlukan sehingga kadang-kadang mengorbankan kepentingan diri.

Berkongsi kisah penghijrahan akidah yang diharungi Nur Athiroh, semuanya tercetus apabila dia bertemu dengan sepotong ayat yang bermaksud: Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku. (az-Dzariyat: 56)

“Saya temui ayat di atas semasa membelek Tafsir al-Quran di rumah teman rapat bernama Nazhadatul Shima. Pada masa itu, banyak masa santai saya habiskan di rumahnya kerana di situlah saya berpeluang membaca buku-buku berkaitan agama Islam.

“Apatah lagi, saya memang seorang yang digelar ulat buku. Kebiasaan ini terbawa-bawa sehingga sekarang kerana saya tahu masa amat berharga,” katanya.

Di samping itu, faktor persekitaran dan pergaulan dengan masyarakat Melayu turut melahirkan bibit-bibit kecintaannya terhadap agama Allah Yang Esa ini.

“Boleh dikatakan 50 peratus penduduk di kediaman saya adalah masyarakat Islam. Secara tidak langsung, mendedahkan saya kepada budaya Melayu dan agama Islam itu sebati dalam kehidupan zaman kanak-kanak hinggalah dewasa,” katanya yang turut terpengaruh dengan perwatakan baik Ustazah Aspiah yang mengajar mata pelajaran Pendidikan Islam.

Akui Nur Athiroh lagi, perbandingan antara agama Islam dengan agama asal apabila semakin meningkat dewasa, merupakan kemuncak keyakinannya kepada Islam.

“Saya pernah utarakan kesangsian tersebut kepada emak dan ayah tetapi jawapan mereka begitu mengecewakan, malah apabila mereka syak yang saya mula berjinak-jinak dengan Islam, saya telah dimarah dan dipukul.

“Semenjak itu, saya semakin tidak betah duduk di rumah. Langkah nekad saya ialah dengan mengatakan saya terpaksa mengikuti kursus di Kuala Lumpur, padahal saya telah ke rumah keluarga angkat di Kelantan dan di situlah saya melafazkan syahadah,” katanya mengakhiri perbualan pagi itu.

Saturday, August 2, 2008

Rahmat Ujian

Ku dedikasikan lagu ini untuk diriku:

Dalam derita ada bahagia
Dalam gembira mungkin terselit duka
Tak siapa tahu
Tak siapa pinta ujian bertamu

Bibir mudah mengucap sabar
Tapi hatilah yang remuk menderita
Insan memandang
Mempunyai berbagai tafsiran

Segala takdir
Terimalah dengan hati yang terbuka
Walau terseksa ada hikmahnya

Harus ada rasa bersyukur
Di setiap kali ujian menjelma
Itu jelasnya membuktikan
Allah mengasihimu setiap masa
Diuji tahap keimanan
Sedangkan ramai terbiar dilalaikan
Hanya yang terpilih sahaja
Antara berjuta mendapat rahmatNya

Allah rindu mendengarkan
Rintihanmu berpanjangan
Bersyukurlah dan tabahlah menghadapi

Segala takdir
Terimalah dengan hati yang terbuka
Walau terseksa ada hikmahnya

Allah rindu mendengarkan
Rintihanmu berpanjangan
Bersyukurlah dan tabahlah menghadapi
Segala ujian diberi
Maka bersyukurlah selalu