Sunday, July 1, 2007

Keturunan Daeng Paroni Gembira Dengan Pengesahan Kubur Pahlawan

SUNGAI PETANI, 24 Jun (Bernama) -- Keluarga keturunan pahlawan Bugis terkenal Daeng Paroni yang menetap di Kampung Ekor Lubuk, Sidam Kiri di sini gembira dengan pengesahan Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Negeri Kedah mengiktiraf sebuah kubur lama di kampung Ekor Lubuk, sebagai makam pahlawan yang meninggal 282 tahun lepas.Setiausaha Persatuan Warisan Keturunan Daeng Paroni, Roshazliza Abdul Razak berkata Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Negeri Kedah mengesahkan kubur lama di kampung Ekor Lubuk sebagai kubur Daeng Paroni pada Selasa lepas setelah keturunan pahlawan itu mengambil inisiatif mengesan kubur Daeng Paroni."Selepas warisnya berjaya mengesan perkuburan Daeng Paroni dan sekarang ia diiktiraf sebagai kubur beliau, kami sebagai keturunannya sangat gembira," katanya di sini hari ini.Anggota keluarga keturunan pahlawan Bugis turut menetap di beberapa daerah lain di Kedah dan Perak.Roshazliza berkata sebelum ini terdapat beberapa catatan menyebut pahlawan itu dikebumikan di Makam Diraja Langgar, di Kedah dan di Pulau Semantan, Riau."Pengesahan itu sudah tentu membanggakan kami yang menetap di kampung berkenaan," katanya.Mengikut catatan sejarah Daeng Paroni adalah keturunan lima wira bersaudara dari Kepulauan Riau. Beliau dan saudara yang lain Daeng Menambun, Daeng Chelak, Daeng Kemasi dan Daeng Merewah dijemput oleh Sultan Kedah ketika itu, Sultan Mohamad Jiwa untuk membantu mengembalikan takhtanya.Dalam peperangan yang pertama, Daeng Paroni berjaya mengalahkan musuh iaitu Raja Kecil, tetapi Daeng Paroni dibedil pada serangan yang kedua dan meninggal di Pinang Tunggal pada 1724.(Dalam sesetengah catatan pahlawan itu disebut sebagai Daeng Perani, tetapi persatuan itu menyatakan nama sebenarnya adalah Daeng Paroni).Roshazliza, 27, generasi kesembilan keturunan itu berkata waris keturunan Daeng Paroni dan empat lagi saudaranya itu menetap di beberapa negara termasuk Indonesia.Roshazliza berkata persatuan akan mengadakan perjumpaan keluarga secara besar-besaran tidak lama lagi dan mahu anggota keturunan lima bersaudara itu menghadirinya.Generasi pahlawan itu yang berminat menyertai perjumpaan keluarga itu boleh menghubungi Roshaliza di talian 012-579 1984 untuk maklumat lanjut.-- BERNAMA

No comments: