Monday, September 8, 2008

Usia tidak halang Dr. Norimah

NAMA Dr. Norimah Yusof, bukan lagi asing di kalangan masyarakat khusus mereka yang terlibat dalam bidang penyelidikan sains nuklear.

Menerima pelbagai anugerah dalam dan luar negara atas pencapaiannya, sudah cukup meletakkan diri wanita ini pada tahap membanggakan bukan sahaja kepada dirinya sendiri, tetapi juga wanita lain.

Kajiannya bukan setakat merangkumi bidang perubatan, sebaliknya graduan kursus biologi/genetik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini, turut mengembangkan ideanya dengan melakukan kajian penggunaan sinaran nuklear bagi bidang pertanian dan penyelidikan berkaitan.

Bagaimanapun, lebih ramai yang mengaitkan wanita berkulit cerah ini dengan kewujudan Bank Tisu kerana beliau adalah antara saintis yang bertanggungjawab menubuhkan bank tisu sulung negara ini untuk tujuan klinikal.

Bertemu dengan anak kelahiran Johor Baharu, Johor ini di pejabatnya, di Agensi Nuklear Malaysia, Bangi, beliau kelihatan begitu bersemangat dan bertenaga walaupun hakikatnya usia bakal mencecah 55 tahun pada September ini.

Bagi sesetengah individu seusia pasti membilang hari untuk melalui tempoh persaraan, tetapi tidak bagi wanita ini yang menganggap usia hanyalah nombor. Lebih penting adalah tahap keupayaan seseorang itu untuk terus memberi sumbangan kepada agama, bangsa dan negara.

‘‘Insya-Allah, jika Tuhan memberi keizinan, kesihatan dan akal fikiran yang sihat saya akan terus memberi sumbangan,’’ ujarnya memulakan perbualan sambil memaklumkan beliau hanya akan bersara dalam tempoh tiga tahun lagi iaitu pada usianya 58 tahun.
Keputusan tersebut diambil selepas berasakan masih banyak lagi usaha-usaha terutama penyelidikan dalam bidang sains nuklear perlu diterokai.

Apalagi katanya, negara masih agak jauh ketinggalan khusus dalam bidang sains nuklear berbanding negara-negara lain.

Wanita cemerlang

Ditanya mengenai apa yang difahami dengan maksud wanita cemerlang, beliau menegaskan: “Apabila seseorang itu berupaya memberi sumbangan kepada masyarakat, itulah yang dikatakan cemerlang.’’

Menyingkap sejak awal penglibatan beliau dalam dunia sains, daripada sekadar penyelidik biasa di Pusat Penyelidikan Atom Tun Ismail (Puspati) (kini Institut Penyelidikan Teknologi Nuklear (Mint)) pada 1977 sehinggalah beliau menjawat tugas Pengarah Bahagian Agroteknologi dan Biosains.

Sambil mengakui, sebahagian jati dirinya banyak dipengaruhi kedua ibu bapanya yang menekankan sikap terbuka dalam mendidik anak-anak.

‘‘Ayah lebih menggalakkan kami agar menceburi bidang yang mencabar, termasuk sains. Manakala ibu pula sering mengingatkan anak-anaknya, tiada apa yang tidak boleh dilakukan di dunia ini,’’ ujarnya yang turut menanamkan sikap sama dalam mendidik ketiga-tiga anaknya, iaitu Alif, 21, Annina, 20 dan Alinasya, 12.

Atas dorongan itu jugalah, Norimah memulakan hasrat murninya dengan menanam minat mendalam terhadap bidang sains dan matematik sewaktu di sekolah menengah.

Beliau kemudiannya menyambung pengajian di UKM dalam bidang genetik sehinggalah berjaya memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sains Kelas Pertama pada 1977.

‘‘Walaupun mendapat tawaran menjadi pensyarah UKM, saya terpaksa menolak kerana hati dan minat saya lebih terarah ke bidang penyelidikan. Ketika itu, nak jadi penyelidik terpaksa melanjutkan pelajaran tetapi secara kebetulan Puspati mencari pegawai dan mungkin rezeki, saya diterima,’’ katanya mengimbas kenangan lalu.

Beliau kemudiannya dihantar menyambung pelajaran peringkat sarjana di University of London dalam bidang Biologi Radiasi.

Ini diikuti dengan peringkat doktor falsafah pada 1982 dalam bidang Penyelidikan Barah/Biologi Radiasi di University of Dundee, United Kingdom.

Projek pertamanya di Agensi Nuklear Malaysia adalah menggunakan sinaran terhadap beras bagi membunuh kuman dan serangga bagi tujuan penyimpanan stok lebih lama.
Selain itu, Norimah turut menghasilkan lebih 30 penerbitan lain berkaitan nuklear dan 2 paten .

Namun, di sebalik tugasnya sebagai saintis, beliau turut mengakui masih ramai yang tidak faham mengenai teknologi nuklear yang sering dikaitkan dengan keganasan seperti bom atom. Sebaliknya, ia untuk tujuan yang lebih besar iaitu dalam perubatan, industri, sekitaran mahupun pertanian.

Beliau juga mengakui selain terpaksa menghadapi pelbagai halangan demi mengangkat bidang sains ke tahap membanggakan, mengorbankan masa untuk diri sendiri juga antara cabaran yang terpaksa dihadapi sepanjang karier yang diceburi.

Berkongsi rahsia kejayaan, kata Norimah tiada apa yang istimewa kerana apa yang dilakukan adalah bersandarkan minat, semangat dan ketekunan.

‘‘Saya juga manusia biasa, cuma minat dan tahap keinginan sahaja yang membezakan saya dengan orang lain,’’ ujarnya sambil mengakui selain rakan-rakan sekerja, sokongan keluarga terutama suami, Dr. Ramli Othman, 55, antara tunjang kepada kejayaannya.

Ditanya mengenai harapan dan perancangannya pada lima tahun akan datang selepas bersara, kata Norimah jauh di sudut hatinya tetap ingin terus memberi sumbangan dalam penyelidikan sains nuklear terutama dalam bentuk tulisan dengan menghasilkan penulisan jurnal atau buku.

Lebih membanggakan sekiranya hasil penyelidikan terutama yang telah dipatenkan dapat di komersilkan dan boleh menembusi pasaran global.

No comments: